Tuesday, 13 May 2014

Kelestarian Hidup Ekonomi Kewangan Komuniti Orang Kanaq dan Orang Kuala, Johor

Mustaffa Omar (Email: momar@ukm.my, mustaffaomar@yahoo.com)
Nor Hafizah Mohd Fizer (Email: norhafizahmohdfizer@gmail.com)
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi Selangor Darul Ehsan

ABSTRAK

Kertas kerja ini menawarkan suatu analisis perbandingan kelestarian hidup ekonomi komuniti Orang Kanaq dan Orang Kuala di Kota Tinggi, Johor berasaskan penguasaan mereka ke atas empat petunjuk modal kewangan iaitu tingkat pendapatan, pemilikan aset, penerimaan bantuan kerajaan dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan. Seramai 23 Orang Kanaq dan 51 Orang Kuala berstatus ketua isirumah telah dipilih sebagai subjek kajian. Hasil kajian menunjukkan penguasaan Orang Kanaq ke atas dua petunjuk utama modal kewangan iaitu tingkat pendapatan dan pemilikan asset adalah masih rendah. Malahan, bantuan kerajaan yang disediakan untuk mereka selama ini masih belum dapat meningkatkan taraf kehidupan kepada kedudukan yang lebih baik dan terjamin. Ini disebabkan bantuan yang disediakan kepada Orang Kanaq setakat ini lebih menjurus kepada memenuhi keperluan dan penggunaan semasa terutama dalam bentuk makanan, pakaian dan pelbagai barangan keperluan harian lain. Bantuan seumpama ini juga tidak dapat membantu mereka menjana peluang pendapatan dan kedudukan ekonomi yang lebih baik dan terjamin di masa hadapan. Sebaliknya, manfaat bantuan kerajaan yang diterima Orang Kuala pula lebih menjurus kepada meningkatkan kualiti modal insan melalui bidang pendidikan dan modal kewangan dalam bentuk pinjaman, geran dan subsidi. Bentuk bantuan sedemikian telah membantu Orang Kuala meningkatkan peluang ekonomi dan menjana pendapatan yang lebih baik. Sehubungan itu, kajian semula perlu dijalankan oleh pihak kerajaan dalam menyediakan sesuatu bantuan untuk Orang Asli, khususnya kepada Orang Kanaq. Bentuk bantuan disediakan semestinya lebih menjurus kepada usaha meningkatkan penguasaan mereka ke atas modal kewangan dan modal insan yang lebih baik. Usaha sebegini dilihat sekaligus dapat memberi mereka lebih ruang dan peluang untuk menjalani hidup secara berdikari dan lebih menjaminkan di masa hadapan.

Kata kunci: Orang Kanaq, Orang Kuala, kelestarian hidup, modal kewangan, modal insan.

No comments:

Post a Comment