Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Masyarakat pribumi atau dikenali sebagai masyarakat Orang Asli merupakan masyarakat minoriti yang tinggal di Malaysia. Mereka kebanyakannya tinggal di kawasan-kawasan pedalaman dan pinggir hutan. Pekerjaan utama mereka adalah mengumpul hasil hutan dan selain itu, mereka juga menjalankan aktiviti bercucuk tanam termasuk pertanian komersial. Demi kelangsungan hidup, aktiviti pertanian kini semakin mendapat perhatian terutama untuk memperoleh makanan dan wang bagi memenuhi keperluan hidup harian yang lain. Masyarakat Orang Asli juga dikenali kaya dengan nilai-nilai tradisi dan kepercayaan. Setiap perkara yang dilakukan harus berpandukan kepada prinsip, strategi dan amalan tradisi yang diwarisi secara turun temurun dalam sesuatu suku kaum tersebut. Dengan itu, prinsip dan amalan-amalan yang ada telah dijadikan panduan semasa mereka terlibat dalam menguruskan ladang pertanian masing-masing. Penulisan ini bertujuan untuk memberikan panduan kepada masyarakat luar bagaimana masyarakat orang asli telah mengadaptasikan prinsip, strategi dan amalan-amalan tradisi mereka dalam menguruskan kawasan pertanian dan hutan berhampiran secara lestari dan sekaligus mengurangkan keterancaman hutan. Melalui kajian ini, maklumat diperolehi dengan melakukan temubual separa berstruktur dan pemerhatian dalam kalangan suku kaum Lanoh, Jahai, Temiar di Grik, Perak, dan suku kaum Jah Hut di Kuala Krau, Pahang. Dapatan kajian dianalisis melalui teknik analisis kandungan. Hasil kajian menunjukkan bahawa berpandukan prinsip, strategi dan amalan-amalan tradisi mereka dalam menguruskan kawasan ladang pertanian berhampiran hutan, mereka telah berjaya menjadikan hutan dan kawasan alam sekelilingnya bebas daripada segala jenis pencemaran dan bencana serta mengekalkan sumber semulajadi yang ada untuk manafaat generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment